SEJARAH RINGKAS KEDATANGAN
ORANG-ORANG PATTANI KE BATU KURAU
Sejarah menyatakan bahawa permusuhan antara Kerajaan Melayu Pattani di Selatan Thailand dengan Kerajaan Siam telah berlaku berkurun lamanya. Senario yang berlaku adalah disebabkan oleh sikap Kerajaan Siam yang ingin meluaskan kuasa dan kawasan pemerintahannya disamping menganggap Islam serta bangsa Melayu sebgai ancaman yang mesti dihapuskan. Permusuhan ini berlarutan sehingga menyebabkan kemusnahan sebuah kerajaan Melayu Islam dan kematian rakyat yang besar bilangannya.
Oleh kerana kekuatan Kerajaan Siam mengatasi Kerajaan Melayu Pattani serta ditambah dengan kezaliman tentera Siam terhadap rakyat negeri Pattani, maka kerabat raja kerajaan Pattani, pengikutnya dan rakyat telah melarikan diri secara beramai-ramai dan ada sebahagiannya sampai ke kawasan baru yang belum diterokai. Mereka berpecah kepada beberapa kumpulan besar dan berhijrah secara berperingkat.
Satu kumpulan keluarga besar yang diketuai oleh Tok Indera seorang kerabat raja Pattani dan pengikutnya telah melarikan diri hingga sampai ke kawasan Kroh (sekarang dikenali sebagai Pengkalan Hulu). Bermula dari situ berlaku lagi perpecahan kepada kumpulan yang lebih kecil, satu menghala ke Baling, Sik, Sedim, Karangan, Mahang hingga ke Ulu Selama, Perak. Manakala satu kumpulan lagi yang diketuai oleh Tok Indera meneruskan perjalanan ke Kerunai hingga ke Lengong. Di sini kumpulan Tok Indera berpecah lagi kepada dua kumpulan, satu meneruskan perjalanan hingga ke Bukit Gantang dan satu lagi bersama Tok Indera singgah dan membuat penempatan baru di sebuah kawasan yang dinamakan Sg Jernih. Sebahagian lagi bersama Tok Indera meneruskan perjalanan melalui Ijok, Pantai Besar, Gudang, Relang, Air Itam dan akhirnya sampai ke kawasan Kg Batu Bertindan.
Sebagai tanda jejak mereka sampai ke situ, maka diletakkan dua ketul batu besar secara bertindan yang akhirnya penempatan tersebut dinamakan Kg Batu Bertindan. Manakala yang selebihnya meneruskan perjalanan hingga ke Charuk Kelian, Ckt. Madrasah, Kg Repoh dan berakhir di Sempeneh.
Fakta ini disokong dengan penemuan sekeping geram tanah bertulisan Jawi yang tertera nama Tok Indera di Kg Batu Bertindan. Penemuan geran ini diceritakan oleh En. Abu Bakar bin Abas dari keturunan Tok Kernai yang menetap di Kampung Titi Kasai. Geran tersebut telah diperbaharui dengan tulisan Rumi dan juga telah bertukar hakmilik. Ini membuktikan bahawa Kampung Batu Bertindan merupakan antara penempatan terawal di Batu Kurau.
Batu Kurau diwartakan sebagai mukim apabila tibanya rombongan kerabat raja Pattani yang bernama Tok Amar Wan Kasa bin Wan Abdullah (Wan Abdullah juga digelar sebagai Raja Hulubalang Pattani). Mereka berpusat di kawasan bawah gunung di Kg Perak dan akhirnya di panggil Batu Kurau. Sebagai ingin mendaulati Sultan dan ingin bernaung di bawah pemerintahannya, Tok Amar Wan Kasa telah mengadap ke bawah Duli Tuanku Sultan Perak. Sultan Perak telah merestui penempatan tersebut dan terus melantik Tok Amar Wan Kasa sebagai wakil sultan bergelar Penghulu Tok Amar Wan Kasa. Atas usaha pentadbiran beliau setelah perlantikan sebagai penghulu,, beliau telah memilih kawasan Ckt Perah pada awalnya sebagai pusat pentadbiran kerana kawasan itu mempunyai ramai penduduk. Walau bagaimanapun cadangan itu tidak diteruskan, sebaliknya kawasan baru yang lebih strategik dan lebih menyerlah seperti faktor ekonomi dan pertahanan. Kawasan baru yang dipilih adalah Kg Sg Akar yang akhirnya ditukar nama kepada Batu Kurau. Pengisytiharan mukim Batu Kurau dilakukan pada tahun 1859 dengan Penghulu pertama adalah beliau sendiri iaitu Penghulu Tok Amar Wan Kasa.
SEJARAH TOK BIDAN SUSU LANJUT
Setiap manusia Allah S.W.T ciptakan dengan sebaik-baik kejadian sesuai dengan firmanNYA dalam Surah At-Tin yang bermaksud “ aku ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian”. Setiap manusia juga dianugerahkan kelebihan dan kelemahan tertentu dan ianya sudah pasti mempunyai hikmah yang Allah S.W.T sahaja yang mengetahuinya. Adakala keistimewaan yang Allah kurniakan kepada manusia dianggap sebagai sesuatu yang luarbiasa dan menakjubkan sepertimana kehebatan yang ada pada Laksamana Hang Tuah. Dalam konteks ini maka sejarah kehebatan yang dimiliki oleh seorang hamba Allah yang digelar Tok Bidan Susu Lanjut juga tidak terkecuali. Populariti beliau menjadi sebutan ramai khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.
Mengikut kajian dan juga pendapat dari beberapa pihak, Tok Bidan Susu Lanjut didakwa berasal dari tempat yang berbeza. Antaranya ialah Pagar Ruyung, Indonesia, negeri Kedah, Permatang Pauh, Pattani dan lain-lain lagi. Hanya dua pihak yang mengakui kuburnya terdapat di tanah perkuburan Kamunting Lama yang lebih dikenali ‘Kubur Keramat Tok Bidan”. Kesimpulan bole dibuat iaitu Tok Bidan Susu Lanjut atau Keramat Tok Bidan bukanlah hanya seorang individu sahaja. Salah satu pihak yang mendakwa kubur keramat Tok Bidan di Kamunting Lama adalah kubur Tok Bidan dari keturunan mereka ialah orang-orang yang berasal dari Pattani dan sebahagian besar daripada mereka ini menetap di mukim Batu Kurau.
Menurut cerita yang disampaikan oleh dua orang cicit Tok Bidan Susu Lanjut (keturunan Pattani) (1) Haji Ali Safar bin Jaafar yang hidup dari tahun 1863 hingga 1968 dan (2) Haji Idris bin Haji Mohd Ali yang hidup dari tahun 1893 hingga 1985 kepada anak-anak mereka yang terdiri dari En Yaakob bin Ali Safar dan En Abu Bakar bin Hj Idris serta cucu saudara mereka yang bernama En Mohd Daud bin Hanapi (Kampung Changkat Perah), maka amat menarik sekali untuk diperjelaskan sedikit sejarah mengenai Tok Bidan Susu Lanjut.
Tok Bidan Susu Lanjut atau nama sebenarnya ialah Tok Esah hidup sekitar 1790an hingga 1870an. Bapanya bernama Tok Debasa manakala nama ibunya tidak dapat diketahui. Tok Esah mempunyai tiga orang abang yang bernama Tok Jusoh, Tok Tahir dan Tok Pakeh. Mereka ini bergelar Datuk Panglima Gagah, Datuk Panglima Garang dan Keramat Tok Pakeh sementara adiknya pula bernama Mat Hassan. Sejarah awal menyatakan bahawa keluarga ini melarikan diri dari negeri Pattani disebabkan berlakunya ancaman keselamatan oleh Kerajaan Siam. Terdapat juga kepercayaan bahawa Tok Debasa berasal dari Indonesia. Beliau telah pergi ke Pattani dan berkahwin dengan seorang Kerabat Raja Pattani. Pasangan ini telah berhijrah dan pernah menetap di Sedim, Kedah. Hujah ini diperkuatkan dengan adanya sebuah bukit di sana yang dikenali sebagai “Bukit Tok Debasa”. Di bukit itu juga jasadnya disemadikan. Manakala empat orang anaknya kecuali Tok Pakeh (tidak ikut berhijrah) meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir di Bukit Gantang, Perak meneroka dan terus menetap di situ. Tok Esah telah berkahwin dengan seorang bomoh yang dikenali sebagai Tok Kermat Serban Kuning. Pasangan ini dikurniakan seramai tujuh orang anak yang terdiri daripada Tijah, Hawa, Munah (bergelar Tok Pattani), Jusoh, Ibrahim, Jabar dan Bakar. Cucu mereka yang bernama Abdullah (anak bongsu Ibrahim) kini telah berusia 90 tahun dan menetap di Kampung Padang Temu, Baling, Kedah.
Sejarah awal menyatakan bahawa keluarga ini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang Kerabat Raja Pattani yang bernama Tok Indera. Tok Indera bersama keluarga dan pengikutnya dipercayai adalah kumpulan pertama yang membuka penempatan pelarian orang-orang Pattani di Mukim Batu Kurau pada awal kurun ke 18. Kampung terawal yang diterokai ialah Kampung Batu Bertindan. Justeru itu, Tok Esah bersama anaknya Jusoh telah datang ke Kampung Batu Bertindan pada awal kurun ke 19 untuk menjejaki keluarga Tok Indera di samping untuk turut sama menetap di kampung tersebut. Jusoh telah bertemu jodoh dengan seorang perempuan bernama Marela. Marela dan adiknya yang bernama Majlis serta kumpulannya melarikan diri dari Kampung Kerunai, Gerik kerana kampung tersebut telah diserang oleh tentera Siam. Mereka menetap di Kampung Cheruk Kelian, Changkat Perah. Perkahwinan antara Jusoh dengan Marela dikurniakan seramai enam orang anak iaitu Mat Diah, Kernai, Siti Hajar, Saman, Senu dan Esah. Oleh yang demikian hampir 95% penduduk Changkat Perah adalah berasal dari keturunan Marela dan Jusih serta Majlis dan suaminya yang bernama Musa. Selepas kematian Marela, Jusoh telah pergi ke Sik atau Sedim, Kedah untuk menjejaki keluarganya dan berkahwin pula dengan seorang gadis jelita di sana. Pasangan ini dikurniakan dua orang anak yang terdiri dari seorang lelaki dan seorang perempuan. Kedua-dua orang itu tidak diketahui namanya dan sehingga kini keturunan mereka tidak dapat dkesan. Dipercayai Jusoh telah meninggal dunia dan dikebumikan di sana. Berdasarkan faktor itu, pihak dari Kedah juga mendakwa bahawa mereka adalah keluarga dari pasangan Jusoh dan isteri barunya itu.
Setelah kematian Jusoh, anak-anaknya terutama sekali yang bongsu iaitu Esah telah dibesarkan sendiri oleh nenek mereka (Tok Bidan Susu Lanjut). Tok Bidan Susu Lanjut yang bersifat penyayang sering mencipta gurindam untuk menghiburkan hati kedua-dua orang cucunya. Antara gurindam yang terkenal yang dinyanyikan ketika memandikan cucu bongsunya ialah:
TONG-TONG PAKU
TANAH LIAT TALI TIMBA
KOLAM MANDI KAK LONG ESAH
CANTIK ANAK KEDAH
PAK LARI TINGGAL KAMI
Kebolehan ilmu perbidanan Tok Esah bermula semenjak di Bukit Gantang lagi dan khidmatnya diteruskan di Kampung Batu Bertindan serta kampung-kampung sekitarnya. Antara kebolehan luarbiasanya ialah ketika beliau membidani seorang perempuan yang hendak melahirkan anak. Secara tiba-tiba keajaiban telah berlaku apabila bayi yang dilahirkan oleh seorang perempuan tersebut berupa beberapa biji telur yang besar dan bukannya berbentuk manusia. Oleh itu, Tok Esah telah mengulit-ulit sambil bermentera maka dengan kehendak Allah S.W.T maka terhasillah rupa bentuk beberapa orang bayi dari telur-telur tersebut. Kelebihannya yang lain termasuklah sebagai bomoh yang luar biasa dan menakjubkan.
Tok Esah dipercayai meninggal dunia di Kamunting ketika dalam perjalanan pulang dari menziarahi keluarganya di Bukit Gantang. Disebabkan beberapa faktor penghalang untuk membawa pulang jenazahnya ke Kampung Batu Bertindan maka jasadnya telah dikebumikan di tanah perkuburan Kamunting Lama. Hujah ini disokong kuat oleh keturunan Datuk Panglima Gagah dan Datuk Panglima Garang yang tinggal di Bukit Gantang. Namun kesahihan mengenai kebenaran kubur Keramat Tok Bidan tidak dapat dipastikan kerana ada pihak lain yang mendakwa bahawa jasadnya disemadikan di Baling, Kedah tetapi tiada fakta sahih diketemui. Maka hanya Allah S.W.T sahaja yang lebih mengetahuinya. Sejak dari itu, kubur Kermat Tok Bidan di Kamunting Lama telah menjadi tumpuan masyarakat termasuk kaum Cina dan India untuk memohon hajat dan membayar nazar sehinggalah binaan yang terdapat di atas kubur tersebut dirobohkan oleh Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 1982 kerana dianggap khurafat. Wallahua’lam bissawab……..
SEJARAH RINGKAS KETURUNAN KERNAI BIN JUSOH
Kernai atau Tok Kernai dipercayai anak kedua kepada pasangan Jusoh dan Marela. Beliau telah berkahwin dengan Aminah iaitu adik kepadaJaafar yang merupakan suami kepada adiknya Siti Hajar. Mengikut sejarah, Tok Kernai adalah seorang yang kuat pegangan agama, seorang bomoh dan juga seorang yang berpegang teguh kepada kemegahan keturunan ini yang berasal dari kerabat Raja Kerajaan Melayu Pattani. Oleh kerana itu beliau sentiasa menjadi pakar rujuk mengenai ketiga-tiga bidang tersebut. Kecintaan dan kebanggaan kepada keturunannya dizahirkan dengan menamakan salah seorang anak perempuannya yang cantik dengan nama Sari dan menggelarkan salah seorang lagi anak lelakinya dengan gelaran Ahmad Sari. Seorang lagi anaknya (yang bongsu) dinamakan Minhaj yang tidak diketahui maknanya dan mungkin mempunyai sesuatu rahsia yang tertentu.
Anaknya yang sulong bernama Halimah telah berkahwin dengan sepupunya iaitu Abdullah (anak sulong Tok Hajar) dan dikurniakan anak seramai 2 orang. Anaknya yang kedua iaitu Sari adalah seorang yang boleh dianggap Promadona kerana kecantikan rupa parasnya. Beliau telah berkahwin dengan Abdullah dan dikurniakan seramai 8 orang anak. Dengan kerana kecantikkannya itu, maka sebahagian besar keturunannya berwajah cantik dan berkulit cerah. Anak Tok Kernai yang ketiga bernama Tosa, beliau telah berkahwin dengan Mat Piah dan dikurniakan seramai 7 orang anak. Cucu Tosa yang bernama Mohd Daud bin Hanapi adalah pemegang susur galur keturunan Bidan Susu Lanjut. Anak keempat bernama Hj Saleh telah melalui tiga perkahwinan dan dikurniakan 8 orang anak. Anak ke lima bernama Salamah telah berkahwin dengan Md Arshad dan dikurniakan seramai 4 orang anak. Beliau telah meninggal pada tahun 1931 ketika melahirkan anak bongsunya yang bernama Abd Razak. Anak ke enam bernama Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mad Sari menetap di Kg Sempeneh Seberang. Beliau adalah seorang Pawang Besar dan dipercayai sebagai Pengawal Gunung Kurau yang terakhir dalam bidang keilmuannya itu. Manakala anak bongsu Tok Kernai iaitu Minhaj atau lebih dikenali Paksu Mihat adalah merupakan bapa kepada Abas, bekas Ketua Kampung Titi Kasai, pendekar dan juga bomoh yang pernah berjaya mengubati penyakit yang dideritai oleh Almarhun kepada Raja Kobat (Pembesar Negeri Perak).
Di antara keturunan Tok Kernai yang dikenali ramai ialah:
1.Tn Haji Tahir bin Hj Abdullah PJK-Bekas Ketua Kg Ckt Perah
2.En Mohd Daud bin Hanapi PJK-Bekas Ketua Kg Ckt Perah
3.En. Abas bin Minhaj-Bekas Ketua Kg Titi Kasai
4.En Haniff Ahmad-Ketua Kg Ckt Perah Sekarang
5.Mahmud bin Hj Ibrahim (Paklong Mi Bomoh Patah)- Kg Ckt Madrasah
6.Tn Hj Majid Hj Ismail – Kg Sempeneh Seberang
7.Hj Rejab bin Ahmad – Bekas Imam Masjid Titi Kasai
8.Ismail bin Jusoh (Mail Siput Pahit) – Bomoh Kg Titi Kasai
9.Hj Mat Alwi bin Mat Piah – Kg Sempeneh Seberang (Pawang Buaya)
10.Hj Kadri Lebai Yahya – Simpang Empat, Anak Kurau
11.Nordin bin Mahmud (Din Tok Payung) – Warung Kopi JPS
12.Harun bin Razak (Harun Penjual Buah) – Kg Ckt Perah
13.Yunus bin Lazim – Kg Ckt Madrasah
14.Hj Sahid Hj Che Nik – Penjual Akar Kayu Stesen Teksi Taiping
15.En Idris bin Tahir PPT – Pegawai FAMA Taiping
16.Tn Hj Junus Hj Salleh – Bekas Imam Masjid Titi Kasai
17.Hj Bahazim Hj Salleh – Imam dan Bomoh FELDA Trolak Timur
18.Kamaruddin bin Kassim (Din Misai) – Kg Titi Kasai
19.Abas Hj Yusof – Kedai Runcit Sempeneh Seberang
20.Abu Bakar Haji Abdullah – Kg Tok Paduka, Kg Perak.
SEJARAH RINGKAS KETURUNAN MAT DIAH BIN JUSOH
Mat Diah bin Jusoh dipercayai merupakan anak sulong kepada Jusoh dan Marela. Isterinya bernama Halimah adalah emak saudara kepada Tok Yassin yang juga bapa kepada Hj. Awang Itam (bekas pemandu teksi). Mat Diah atau lebih dikenali sebagai Tok Mat Diah Kaya dikatakan seorang yang berpengaruh dan berharta. Ini dibuktikan dengan adanya beberapa ekor gajah yang beliau miliki. Rumahnya terletak di Kampung Batu Bertindan. Justeru itu sebahagian besar penduduk kampung tersebut adalah dari keturunan beliau.
Beliau mempunyai dua orang anak lelaki sahaja iaitu Tuan Haji Tahir dan Tuan Haji Yunus. Tuan Haji Tahir adalah seorang yang berkebolehan sebagai bomoh yang handal dan kehebatannya pernah diceritakan berjaya menjinakkan seekor harimau yang mengganas. Beliau telah berkahwin dengan Syarifah dan dikurniakan seramai empat orang anak yang terdiri daripada Hajjah Long Abdullah, Hj Ismail dan Hajjah The. Selepas isterinya (Syarifah) meninggal dunia, beliau telah berkahwin dengan isteri baru bernama Temani tetapi tidak dikurniakan anak. Anak sulongnya yang bernama Hajjah Long adalah isteri yang pertama kepada Tuan Haji Arshad Kaya, Batu 16. Disamping itu Hj. Tahir juga dikurniakan keturunan yang berjasa kepada masyarakat dalam pelbagai bidang samada agama, kepimpinan, perubatan tradisional dan sebagainya. Di antara mereka ialah dua orang cicitnya iaitu YB. Kapt (B) Najmuddin Hj. Alias Al-Hafiz dan adiknya Ustaz Mohd Kazim Al-Hafiz. Di antara keturunannya yang dikenali ramai ialah:-
Allahyarham Abdullah bin Hj Tahir (Dollah Bomoh) – Batu Bertindan
Allahyarham Hj Ismail bin Hj Tahir (Mail Bilal) – Kampung Paya
Allahyarham Pak Ngah Mansor bin Hj Ismail (Kampung Paya) – Bekas Ketua Kampung dan Guru Tua Seni Silat Gayung Fatani Malaysia.
Tn Hj Abdul Rahman bin Hj Salleh @ Hj. Din Chik – Bekas Ketua Kg Air Itam
Mat Isa bin Hj Salleh (Bomoh) – Kg Air Itam
Ustaz Mohd Zohdi bin Hj Yusof (Kg Paya) – Guru Tajwid
Ustazah Chu Nazirah bt. Hj Ismail – Guru al-Quran
YB KAPT (B) USTAZ NAJMUDDIN BIN HJ ALIAS – ADUN BATU KURAU
Ustaz Hj Mohd Kazim bin Hj Alias – Penceramah Bebas
Ahmad Hasbullah bin Hj Alias – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bhg Larut
Abu Bakar bin Hj Khalid@Din Hj Khalid – Batu 16
Baharuddin bin Ishak@Din Paklang Sahak – Kg Bechah
Baharuddin bin Hj Ismail (Awang Pakya) – Kedai Runcit Kg Sempeneh Seberang
Hj Yunus pula adalah adik kepada Hj Tahir dan lebih dikenali sebagai Pak The Yunus. Beliau berkahwin dengan Milah dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Dahaman, Esah dan Mat Isa. Di antara keturunan beliau yang dikenali ramai ialah:-
Hj Yusof @ Pak Lang Yusof bin Dahaman – Bilal Masjid Pekan Batu Kurau
En. Harun bin Mat Isa – Imam Surau Kg Batu Bertindan
Mohd Nasir bin Shaari – Kg Batu Bertindan
Keturunan Tok Mat Diah kebanyakannya menetap di sekitar:
Kampung Batu Bertindan
Kampung Changkat Perah
Kampung Paya
Kampung Air Itam
Mat Diah bin Jusoh dipercayai merupakan anak sulong kepada Jusoh dan Marela. Isterinya bernama Halimah adalah emak saudara kepada Tok Yassin yang juga bapa kepada Hj. Awang Itam (bekas pemandu teksi). Mat Diah atau lebih dikenali sebagai Tok Mat Diah Kaya dikatakan seorang yang berpengaruh dan berharta. Ini dibuktikan dengan adanya beberapa ekor gajah yang beliau miliki. Rumahnya terletak di Kampung Batu Bertindan. Justeru itu sebahagian besar penduduk kampung tersebut adalah dari keturunan beliau.
Beliau mempunyai dua orang anak lelaki sahaja iaitu Tuan Haji Tahir dan Tuan Haji Yunus. Tuan Haji Tahir adalah seorang yang berkebolehan sebagai bomoh yang handal dan kehebatannya pernah diceritakan berjaya menjinakkan seekor harimau yang mengganas. Beliau telah berkahwin dengan Syarifah dan dikurniakan seramai empat orang anak yang terdiri daripada Hajjah Long Abdullah, Hj Ismail dan Hajjah The. Selepas isterinya (Syarifah) meninggal dunia, beliau telah berkahwin dengan isteri baru bernama Temani tetapi tidak dikurniakan anak. Anak sulongnya yang bernama Hajjah Long adalah isteri yang pertama kepada Tuan Haji Arshad Kaya, Batu 16. Disamping itu Hj. Tahir juga dikurniakan keturunan yang berjasa kepada masyarakat dalam pelbagai bidang samada agama, kepimpinan, perubatan tradisional dan sebagainya. Di antara mereka ialah dua orang cicitnya iaitu YB. Kapt (B) Najmuddin Hj. Alias Al-Hafiz dan adiknya Ustaz Mohd Kazim Al-Hafiz. Di antara keturunannya yang dikenali ramai ialah:-
Allahyarham Abdullah bin Hj Tahir (Dollah Bomoh) – Batu Bertindan
Allahyarham Hj Ismail bin Hj Tahir (Mail Bilal) – Kampung Paya
Allahyarham Pak Ngah Mansor bin Hj Ismail (Kampung Paya) – Bekas Ketua Kampung dan Guru Tua Seni Silat Gayung Fatani Malaysia.
Tn Hj Abdul Rahman bin Hj Salleh @ Hj. Din Chik – Bekas Ketua Kg Air Itam
Mat Isa bin Hj Salleh (Bomoh) – Kg Air Itam
Ustaz Mohd Zohdi bin Hj Yusof (Kg Paya) – Guru Tajwid
Ustazah Chu Nazirah bt. Hj Ismail – Guru al-Quran
YB KAPT (B) USTAZ NAJMUDDIN BIN HJ ALIAS – ADUN BATU KURAU
Ustaz Hj Mohd Kazim bin Hj Alias – Penceramah Bebas
Ahmad Hasbullah bin Hj Alias – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bhg Larut
Abu Bakar bin Hj Khalid@Din Hj Khalid – Batu 16
Baharuddin bin Ishak@Din Paklang Sahak – Kg Bechah
Baharuddin bin Hj Ismail (Awang Pakya) – Kedai Runcit Kg Sempeneh Seberang
Hj Yunus pula adalah adik kepada Hj Tahir dan lebih dikenali sebagai Pak The Yunus. Beliau berkahwin dengan Milah dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Dahaman, Esah dan Mat Isa. Di antara keturunan beliau yang dikenali ramai ialah:-
Hj Yusof @ Pak Lang Yusof bin Dahaman – Bilal Masjid Pekan Batu Kurau
En. Harun bin Mat Isa – Imam Surau Kg Batu Bertindan
Mohd Nasir bin Shaari – Kg Batu Bertindan
Keturunan Tok Mat Diah kebanyakannya menetap di sekitar:
Kampung Batu Bertindan
Kampung Changkat Perah
Kampung Paya
Kampung Air Itam
SALASILAH TOK DEBASA



